Monday, December 28, 2009

Tekad 2010

Salama perjuangan dan salam 1Malaysia kepada semua pelajar-pelajar saya khususnya pelajar SMK.Narinag yang sangat dikasihi dan juga kepada semua pelajar di seluruh negara. Tahun 2009 akan berlabuh tidak lama lagi..Tahun 2009 telah memberikan kenangan pahit, manis, suka dan duka. Kita ketawa, kita sedih malah berjuta perasaan yang wujud dalam setiap sanubari kita. Apapun, kita terima semua itu sebagai pengajaran dan pedoman yang bererti kepada kita supaya perjalanan kita menjelang 2010 nanti akan lebih bermakna. Ayuh, semua pelajar, mulakan tahun 2010 dengan semangat danazam yang baru. Buang segala sikap negatif yang menghambat kecemerlangan anda dalam akademik. Kepada pelajar 5A, 5C dan 5H jadikan tahun 2010 sebagai tahun yang sangat bersejarah dalam hidup anda. Jadikan setiap hari sebagai hari yang bermakna. Ingat masa akan terus berjalan. Waktu tidak akan pernah berhenti..Oleh itu, kita mesti bijak mengurus waktu yang amat singat itu.

Salam Perjuangan dari saya

Cikgu Juilis Mokujal
SMK.Narinang
Kota Belud
29 Disember 2009

Friday, December 4, 2009

SELAMAT BERCUTI WARGA SMKN

Peperiksaan SPM kini hampir di penghujungnya. Calon-calon SPM 2009 semakin tidak sabar untuk bercuti. Selama tiga bulan mereka menunggu keputusan. Wajah-wajah ceria yang saya jumpa sepanjang peperiksaan dijalankan memberikan keyakinan bahawa peratus kelulusan dan PNGK sekolah pasti akan naik. Walaupun harapan tinggi menggunung, namun kesabaran pelajar menabur kerajinan sejak awal lagi pastinya akan diberkati Tuhan. Kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4, cikgu ucapkan selamat bercuti, selamat mendahu (berladang) selamat memutung (menoreh)..apa juga yang anda lakukan semasa cuti ini, pastikan berfaedah. Cikgu bangga dengan kerajinan kamu di ladang, dan cikgu harap kerajinan itu akan ditransformasi dalam persediaan menghadapi SPM 2010. Kepada rakan-rakan guru BM, marilah kita membuat refleksi kendiri supaya iltizam kita untuk mendidik anak bangsa akan terlaksana dan marilah kita bersama-sama membantu pelajar untuk menjadi pelajar yang cemerlang dan terbilang.

Tuesday, November 17, 2009

Tips Terakhir

Tinggal beberapa jam sahaja lagi dari sekarang, SPM menjelang tiba..kepada semua pelajar, cikgu ucapkan jangan RISAU..tetap tenang dan pastikan kobaran api motivasi itu tetap menyala dalam setiap hati anda..

ataupun tambahan..baru sahaja tadi saya lawat blog Cikgu Ghalib..ada beberapa tajuk yang perlu diberi perhatian iaitu:

Novel
1. 3 nilai kegigihan dalam novel
2. peristiwa yang dianggap kemuncak/klimaks dalam novel dan sebab peristiwa itu dianggap klimaks.

Puisi Tradisional - Syair Kelebihan Ilmu

Drama - Jangan bunuh-rama.

Sunday, November 15, 2009

Istimewa untukmu

Istimewa untukmu
(calon-calon SMKN 2009)


18 Nov menerpa di pintumu
terbentang masa depan gemilang
sejuta bintang bercahaya di atasmu
telapakmu semakin jauh di sempadan kenanganku

Istimewa untukmu
ayuh lewati onak berduri
kakimu pantas berlari
jemarimu ligat menari
pada kanvas putih masa depanmu

usah kau biar kenangan lalu
menggamit sedihmu
kerana langkah pertamamu
itulah doaku.

Cikgu Juilis Mokujal
Guru Bahasa Melayu
SMK.Narinang,
Kota Belud

HADAPI SPM DENGAN PENUH KEYAKINAN

Syalom dan salam 1Malaysia kepada calon SPM 2009,

Menghadapi SPM dengan penuh keyakinan memberikan anda kekuatan dan motivasi yang tinggi. Persediaan yang cukup belum tentu menjamin kejayaan anda jika jiwa anda bercelaru dan penuh dengan ketidakyakinan. Jangan biarkan perasaan rendah diri menguasai anda..Jika Awanis boleh mengatasi cabaran dan Rimpa boleh melanjutkan pelajarannya..anda pun boleh juga. Anda masih ingat cerita Mariah..nah..walaupun berdepan dengan masalah keluarga..Mariah masih mampu meneruskan perjuangannya..mari ambil semangat Hang Jebat..tetap berusaha melawan cabaran dan rintangan..yeh..

Ayuh lakukan yang terbaik..Anda semua telah membuktikannya semasa PMR 2007 dan kini SPM 2009 -anda mampu melakar sejarah sekali lagi Kalau Bukan ANDA siapa lagi..Kalau bukan SPM bila lagi..sebab SPM membuka masa depan yang lebih gemilang.. GBU!

Semakan Terakhir SPM 2009

Semua warga pelajar SMKN..adakah anda telah membuat semakan terakhir bagi setiap tajuk di bawah ini.
Berikut saya perturunkan tajuk-tajuk penting BM SPM yang anda hadapi pada Rabu depan (18 Nov 2009)

Soalan Pemahaman prosa
Ting 4
1. Annys Spohillea
2.Lambaian Malar Hijau

Ting5
1. Virus Zel Untuk Abah

Drama
Ting.4
1. Serunai Malam

Ting5
1. Jangan Bunuh Rama-Rama

Soalan 2(c) Prosa Tradisional

1. Cerita Bayan
2. Sikap Terburu Membawa Padah
3. Sabor
4. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa
5. Asal Usul Raja Kecil

Soalan 2(d) Pemahaman Puisi Tradisional
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3. Pantun 6 Kerat
4. Syair Kelebihan Ilmu

Puisi Moden (Sajak)
1. Anak Laut
2. Derita Pertama
3. Duhai Pentafsir
4. DI Ruang Gemanya

Tatabahasa
3(a) membina ayat daripada frasa (soalan seperti Percubaan SPM peringkat sekolah)
3(b) Soalan tentang cakap ajuk/pindah/ayat aktif/pasif
3(c) Kesalahan ejaan dan imbuhan
3(d) Kesalahan kata/istilah dan tatabahasa
3(e) Peribahasa yang sama maksud/mengemukakan peribahasa berdasarkan petikan

Cikgu dan rakan-rakan guru BM SMKN mengucapkan SELAMAT MENEMPUH SPM..Doa kami anda semua CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG..

Friday, November 13, 2009

Ramalan Novel SPM 2009

Jika dibilang dengan jari, tinggal 4 hari sahaja lagi SPM akan digempur! Sama ada bersedia ataupun tidak SPM pasti muncul 18 Nov (Rabu) depan. Jika SPM 2007, BM dihadapi pada hari kedua peperiksaan, namun nampaknya tahun ini hari yang PERTAMA. Sesuai dengan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan Malaysia, sudah semestinya BM didahulukan- selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh PM kita.

Nah..sebagai meredakan kegelisahan dan gelora dalam hati, ada baiknya calon-calon SPM menenangkan diri seperti mendengar muzik instrumental rohani, jazz atau membaca komik yang sesuai..kalau pelajar di SMK.Narinang, bisa saja kamu 'tumolop( berendam) di sungai Kadamaian..he he

Sebagai persiapan menjawab novel, sila pastikan anda sudah bersedia dengan tajuk-tajuk berikut:
1. Peranan watak sampingan membantu watak utama (unsur keperihatinan)
2. Perbandingan nilai murni dalam dua novel yang dikaji
3. Perbandingan latar masa dan masyarakat
4. Sikap negatif dalam masyarakat
5. Cara pengarang menamatkan cerita dalam novel
6. Aspek yang menarik dalam novel yang dikaji.

AYUH buktikan kepada diri sendiri..anda mampu melakar kecemerlangan ..GBU

Friday, October 23, 2009

Teknik Menjawab Sajak

Mengikut pengamatan dan penelitian melalui analisis item, didapati calon-calon SPM lemah menjawab puisi moden (sajak). Keciciran markah yang agak banyak dalam soalan 2(d) memberikan gambaran betapa lemahnya pengamatan dan penghayatan calon SPM. Sajak bukan seperti genre sastera yang lain yang mudah difahami. Oleh itu, calon-calon SPM perlu sekali memahami intipati atau gagasan penyair melalui sajaknya. Kalau diteliti bilangan sajak dalam Antologi Anak Laut dan Kerusi, hanya sajak "Duhai Pentafsir" karya Zurinah Hassan yang memeningkan calon SPM. Berdasarkan kajian yang dilakukan rakan-rakan guru, kemungkinan genre sajak akan keluar dalam SPM tahun ini. Justeru itu, sekali kesempatan masa ada, ada baiknya para calon melakukan perkara di bawah ini:
1. Aktifkan perbincangan dalam kumpulan (4 orang lagi baik)
2. Bincang semula elemen sajak yang sukar difahami (cth :maksud rangkai kata, pemikiran penyair, soalan KBKK) dsb
3. Mantapkan pengetahuan mengenai unsur gaya bahasa sastera dalam sajak
4. Bertanya kepada guru tanpa bertangguh dan elakkan perasaan segan (malu)
5. Buat latihan berterusan & minta guru BM menyemak jawapan serta merta.

Sekali ada ruang dan peluang-lakukan yang terbaik.

Wednesday, October 7, 2009

Sikap Penentu Kejayaan Seorang Pelajar

Setelah keputusan Excel 2 diberikan kepada pelajar, saya mendapati pelajar-pelajar tidak puas hati dengan keputusan yang diperoleh. Alasan pelajar ialah mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengulangkaji pelajaran. Sebenarnya, kejayaan seseorang pelajar itu bukan bergantung kepada satu aspek semata-mata. Jika pelajar lebih bergantung harap kepada orang lain (guru BM) akan menanamkan sikap kurang berdikari dalam diri pelajar. Oleh itu, untuk mencapai/menggapai impian dalam SPM 2009..SIKAP adalah elemen yang sangat penting dalam diri pelajar. Jika pelajar mempunyai sikap positif dan memikirkan kejayaan dan melaksanakan misi dan visi dengan tuntas, maka nescaya pelajar tersebut akan pulang dengan BERKAT 10A1 ..semoga pelajar SMK.Narinang dapat merealisasikannya..

"Kalau Bukan Anda Siapa Lagi"-motto Tuan Jame Alip

JSU PERCUBAAN SMK NARINANG 2009

Saya hanya tersenyum apabila ada pelajar Tingkatan 5 yang bertanya apa soalan yang akan keluar dalam Peperiksan Percubaan SPM pada minggu yang akan datang. Kalau saya sekarang langsung mengatakan tajuk atau soalan, sudah tentu pelajar tidak akan bersedia..malah banyak bergantung kepada saya kelak..Oleh itu, saya mengatakan kepada pelajar supaya rajin-rajinlah mengakses blog saya..mudah-mudahan melalui blog ini dapat memberikan sedikit gambaran tema yang akan disoal dalam peperiksaan kelak.

Bahagian A
Tema:
Perpaduan kaum
Warisan bangsa dan negara
Kegiatan ko-kurikulum

Bahagian B
Tema:
1. Pengalaman peribadi
2. Ibu bapa
3. Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia
4.Ekonomi global
5.KOMSAS

Semoga klu ini membantu semua pelajar SMK.Narinang untuk suskes dalam peperiksaan nanti..

Friday, September 4, 2009

Perginya Seorang Ikon Sastera Sabah

Pagi Khamis ketika sibuk mengajar di kelas, tiba-tiba saya mendapat SMS dari seorang sahabat -Amil Jaya sudah pergi, cikgu!- Rasa tidak percaya apa dilihat pada skrin telefon bimbit, lantas Sdra Jasni Matlani (Pengerusi BAHASA Sabah) dihubungi- dan ternyata SMS itu benar. Perasaan sebak dan kehilangan yang amat sangat menggunung dalam dada..rasa mahu menangis namun terpaksa di tahan juga (malu di depan pelajar sendiri). Secara peribadi saya cukup akrab dengan Pak Amil Jaya (Datuk Ismail Abas). Rumah arwah di Putatan kerap dikunjungi sama ada melawat atau mencari bahan kajian terhadap karya-karyanya. Dalam kelas, saya kata kepada pelajar: betapa Sabah kehilangan seorang ikon sastera" yang telah banyak menyemai karya besar seperti Bagaton, Ngayau sehingga mendapat anugerah S.E.A AWARD daripada kerajaan Thailand. Karya-karya Amil Jaya tetap hidup dalam setiap sanubari insan. Bahkan kepada pelajar yang telah menghayati cerpen Tragedi dalam Antologi Kerusi, sudah pasti merasa kehilangan penulis ini, walaupun tidak pernah bersua muka dengan arwah secara peribadi. Apapun kata orang, "berat mata memandang, berat lagi bahu memikul" saya berdoa supaya semua ahli keluarga arwah, Datin dan anak-anak dapat mengharungi cabaran ini. Hidup ini memang sifat cukup cemburu kepada kita semua. Persidangan Pemikiran Amil Jaya dan Bicara Karya Cerpen ADAM yang saya tukangi semacam suatu isyarat kepada penulis sastera bahawa kehilangan ikon sastera sama ada di Sabah mahupun di Semenanjung tetap berbekas dalam hati.

Penyair terkenal Indonesia dalam bait puisinya "Aku mahu hidup seribu tahun lagi" hanyalah mimpi seorang insan seperti kita..Hidup kita di tangan Tuhan..

Tuesday, August 25, 2009

Strategi Menjawab Soalan Komsas SPM

1.Baca petikan sekurang-kurangnya dua kali untuk mendapatkan gambaran yang menyeluruh dengan baik dan jelas.
2.Anda disaran supaya memberikan perhatian kepada perkara berikut:
a.watak-watak dalam petian
b.persoalan atau isu utama dalam petikan
c.sebab-sebab timbulnya persalan dalam petikan
d.masa sesuatu peristiwa dalam petikan itu berlaku, dan
e.tempat berlakunya peristiwa dalam petikan.

3. Anda akan diuji memberikan maksud rangkai berdasarkan petikan.
4. Untuk menjawab soalan sedemikian dengan baik, mula-mula carilah kedudukan kata atau rangkai kata yang berkenaan dalam ayat yang berkaitan.
5. Kemudian, tentulahlah maksudnya dengan berdasarkan konteks ayat dan petikan tersebut secara keseluruhannya.
6. Gunakan kata-kata anda sendiri dalam bentuk bahasa baku.
7. Baca soalan dengan teliti untuk memahami kehendak soalan
8. Semasa menjawab soalan, ambillah sebahagian daripada soalan sebagai permulaan jawapan dan gabungkan dengan jawapan yang sebenarnya dalam bentuk ayat yang lengkap.
9. Jika terdapat kata-kata yang berhuruf condong dalam soalan, tulis semula dalam jawapan dengan memberikan tanda petik " "
10.Untuk menunjukkan kesinambungan ayat, gunakanlah penanda wacana yang sesuai seperti di samping itu, selain itu, dalam pada itu, sungguhpun demikian, dll
11.Jika soalan menanyakan aspek sastera, fahamilah aspek sastera terlebih dahulu
12.Selamat menjawab ..boleh bah kalau kau...

Tema Karangan Bahasa Melayu SPM

Karangan pada peringkat SPM menguji kewibawaan dan ketrampilan calon mengolah esei yang lengkap. Oleh itu, sebagai persediaan, berikut dipaparkan tema karangan yang perlu diberikan perhatian:

Tema Karangan BM SPM:
1. Pelaburan dan tabungan
2.Perpaduan kaum
3.Isu alam sekitar - tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, isu penebangan hutan
4.Isu kemelesatan ekonomi dunia -masalah pengangguran
5.Memulihara warisan bangsa -bangunan bersejarah
6.Kepentingan mempelajari bahasa asing
7.Sistem pengangkutan -kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan pengangkutan moden
8.Amalan membaca
9.Kesan alat komunikasi -telefon bimbit, internet
10.Pemanasan global

Sumber: blog Cikgu Abd. Razak

Friday, August 21, 2009

Kem Jati Diri SMKN 2009

Tahniah kepada pasukan pelaksana Kem Jati Diri SMK.Narinang dibawah pimpinan Kem Komandan Tuan Alexcius Sagun, dibantu oleh Cikgu Siti Hawa Bahari, semua jurulatih, Cikgu Jerry, Puan Josepha, pembantu (semua pelajar 6R) kerana telah berjaya melaksanakan tugas sepanjang kem jati diri yang julung kalinya dilaksanakan pada tahun ini. Seramai 58 pelajar dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 telah terpilih menyertai kem jati diri. Sesungguhnya, kem tersebut telah berjaya membuka hati dan minda setiap peserta melalui aktiviti yang sangat-sangat mencabar dan menyeronokkan. Saya yakin dengan perubahan yang berlaku dalam diri pelajar SMK.Narinang akan memberikan impak yang amat besar kepada SMK.Narinang terutamanya sekali pelajar yang menduduki PMR dan SPM tahun ini. Kepada sahabat saya Tuan Alexcius dan rakan-rakan yang memberikan 100% komitmen, syabas dan tahniah..kerana bukan mudah melaksanakan misi yang amat besar itu..hanya cikgu-cikgu yang benar-benar komitmen sahaja yang boleh menggalas tanggungjawab tersebut. Teruskan perjuangan demi anak bangsa kita kerana mereka penyambung warisan bangsa..Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan -1Malaysia.

Jangan Lupa Excel 2

Hari ini semua pelajar di seluruh Malaysia mulai bercuti..memang banyak program yang dilaksanakan sepanjang cuti. Apapun, kepada semua pelajar yang beragama Islam, cikgu mengucapkan selamat berpuasa. Pastinya bulan Ramadan yang mulia ini memberikan banyak berkat kepada semua pelajar. Walau bagaimanapun, bercuti..bercuti juga, tanggungjawab sebagai pelajar jangan diabaikan..Pelajar perlu ingat peperiksaan Excel 2 akan dilaksanakan sebaik sahaja persekolahan bermula. Tidak ada alasan yang perlu dilontarkan lagi..Cikgu yakin dengan usaha yang berterusan dan semangat kuat untuk melakar kecemerlangan pastinya akan tercapai. Pastikan pelajar-pelajar mengulang kaji setiap tajuk/topik yang telah dipelajari..Berjuanglah selagi masa masih terbuka di hadapan anda...Selamat Bercuti..ye.

Tuesday, August 11, 2009

Soalan Berpandu Prosa Klasik- Sabor

Semasa cuti semester yang pertama, cikgu telah memberikan latihan latih-tubi kepada pelajar SMK.Narinang. Berdasarkan pemerhatian, nampaknya ramai lagi pelajar yang belum menghayati sepenuhnya cerita Sabor. Oleh itu, untuk memudahkan kefahaman pelajar semua, berikut saya paparkan skema yang sepatutnya anda nyatakan dalam jawapan anda( sila jawapan dalam peperiksaan SPM menggunakan ayat yang lengkap)

1. Siapakah Siti Saidah ?
* Isteri Jibor
* Isteri yang tidak setia/curang(bermukah dengan jauhari)
* Tidak beriman/penzina
* Suka menabur fitnah
* Pendendam
* Berahi akan Sabor

2. Jelaskan sebab Sabor dapat menghindarkan diri daripada pujukan Siti Saidah?
* Teringat akan pesanan Raja Damsyik tentang dosa berzina/supaya menjauhi zina
* Takut akan balasan Tuhan apabila melakukan perbuatan terkutuk (zina)
* Tidak mahu mengkhianati saudaranya Jibor

3. Sekiranya adan adalah Sabor, apakah tindakan yang akan anda ambil terhadap Siti Saidah?
* Memberitahu Jobor akan kecurangan Siti Saidah
* Membawa Siti Saidah ke muka pengadilan supaya dijatuhkan hukuman yang sewajarnya
* Mengajak Siti Saidah mendalami ajaran agama
* Menasihati Siti Saidah supaya bertaubat/insaf akan kesalahannya

4. Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh Jibor apabila mendengar aduan Siti Saidah?
* menyiasat hal itu dengan teliti sebelum mengambil tindakan
* Bertanyakan hal yang sebenar daripada Sabor untuk mendapatkan kepastian
* Membawa perkara tersebut ke muka pengadilan (mahkamah)

Monday, August 10, 2009

Puisi Tradisional-Seloka

Seloka merupakan puisi tradisional yang perlu dikaji dan difahami oleh calon SPM. Seloka disampaikan secara gurau-senda yang mengungkapkan sindiran halus dalam bentuk puisi. Melalui seloka, terungkap pengajaran dan nasihat yang disampaikan dalam nada yang menyindir atau mengejek seseorang. Terdapat dua seloka yang perlu dikaji oleh calon-calon SPM iaitu Seloka Pak Kaduk (Antologi Anak Laut dan Seloka Pandai Pak Pandir (Antologi Kerusi).

Seloka Pak Kaduk
* memaparkan nasib malang akan menimpa seseorang sekiranya tidak berhati-hati atau berfikir panjang.
* perbuatan yang keterlaluan akan merugikan diri sendiri.

Seloka Pandai Pak Pandir
* membuat kerja yang sia-sia
* mengikut perangai/sikap orang luar hingga mengakibatkan diri sendiri kerugian
* mengharapkan sesuatu keuntungan yang belum pasti hingga apa-apa yang ada dipersia-siakan/tidak dihargai
* mudah mempercayai kata-kata manis yg mempunyai maksud yang tersirat
* kata manis orang mendatangkan kerugian dan mengakibatkan implikasi negatif dalam hidup seseorang insan.

Friday, August 7, 2009

Analisis Tema dan Persoalan Cerpen Tingkatan 4

Cerpen Tingkatan 4 dalam Antologi Anak Laut yang setakat ini belum keluar atau ditanya dalam peperiksaan SPM ialah Annyss Sophilea dan Lambaian Malar Hijau.

Annyss Sophilea.

Tema:
Persahabatan yang murni berdasarkan alam fantasi yang segar

Persoalan:
1. Perjuangan menentang kejahatan
2.Pemimpin yang tamak akan kuasa
3.kasih sayang antara dua saudara kembar
4.kesanggupan menunaikan wasiat
5.pengorbanan demi menegakkan kebenaran

Lambaian Malar Hijau

Tema:
Perasaan cinta akan alam sekitar

Persoalan
1.Kegigihan guru dalam usaha melaksanakan tanggungjawab
2.Ketenangan hidup di kawasan pedalaman
3.Kemiskinan dan kemunduran Orang Asli
4. Kepentingan pendidikan

Pengalaman bersama Penulis Terminal Tiga

Mengenali penulis tersohor Malaysia, arwah Prof.Madya Dr.Othman Puteh merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Dr.Othman Puteh ialah pensyarah Kesusasteraan Melayu di UKM yang banyak mengajar, mendidik dan membimbing saya menjadi seorang penulis. Namun, nawaitu saya ketika di UKM hanya untuk lulus bukan mahu menjadi seorang penulis seperti OP. Setelah kehilangan beliau, barulah keinginan menulis timbul dalam hati. Alangkah baiknya jika saya menggunakan masa 4 tahun di UKM berguru dengan OP. Kini, karya-karya OP seperti novel Kalut, Terminal Tiga dan Munajat di Perkebunan masih tatapan masa senggangku. Kepada OP selamat beristirahat di alam sana.

Sajak -Anak Laut

Soalan 2(d) Petikan Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

ANAK LAUT

Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisi ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati.

Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan urat-urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta

RAHIMIDIN ZAHARI
Antologi Anak Laut

i. Mengapakah penyajak menyatakan dirinya bagai buih kecil terapung di air? (3 markah)
ii.Pada pendapat anda, bagaimanakah gambaran kehidupan masyarakat nelayan seperti yang terdapat dalam sajak tersebut dapat ditingkatkan supaya menjadi lebih baik? (3 markah)
iii.Nyatakan persoalan-persoalan yang ingin disampaikan oleh penyajak dalam sajak tersebut? (3 markah)

Kepada semua pelajar cikgu di SMK.Narinang, saya bersukacita jika anda mencuba menjawabnya dan emel jawapan anda kepada saya (juilis7868@gmail.com) . Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya..bah!

Cerpen -Virus Zel Untuk Abah (2)

Secara ringkas cerpen ini membawa tema kepincangan yang berlaku dalam sebuah institusi keluarga. Perceraian ibu dan bapa Zel telah menyebabkan Zel seringkali berasa tertekan kerana tidak dapat menerika hakikat bahawa dia kini kehilangan seorang ayah. Melalui cerpen ini, saya mendapati Mawar Shafie ingin melontarkan pemikirannya bahawa keruntuhan sesebuah institusi keluarga adalah pemangkin kepincangan dalam kalangan anak-anak muda masa kini.

Persoalan cerpen Virus Zel Untuk Abah
1. Masalah yang ditimbulkan oleh perceraian
2.Berdikari untuk meneruskan kehidupan
3.Berfikiran terbuka dalam menghadapi sesuatu masalah
4.Kepentingan teknologi maklumat
5.Taat kepda perintah Tuhan

Nilai.
Nilai- Ketabahan , Kegigihan, Baik hati dan bertanggungjawab.

Pengajaran:
1. Kita mestilah menggunakan fikiran yang rasional sebelum membuat sebarang keputusan atau melakukan sesuatu tindakan
2. Setia ibu bapa mestilah memahami perasaan anak-anak mereka.
3. Perpecahan dalam keluarga mengundang banyak masalah.
4. Setiap dugaan mestilah ditempuhi dengan tabah.

Selain daripada dua aspek yang dipaparkan, pelajar juga perlu membuat nota ringkas aspek plot, latar (msyt,masa, tempat) dan juga watak dan perwatakan.

Cerpen -Virus Zel Untuk Abah

Memahami cerpen adalah amat mudah sekali. Sesuai dengan konsep cerpen (cerita pendek) kita boleh memahami intipati, tujuan, cerita ataupun gagasan yang diketengahkan oleh penulis. Namun demikian, kita kadang-kadang agak sukar memahami sebuah karya kerana beberapa aspek, misalnya aspek bahasa dalam cerpen tersebut. Dalam Antologi Kerusi, saya cukup tertarik dengan cerpen Dr.Mawar Shafie, seorang pensyarah Kesusasteraan Melayu di UKM. Saya cukup kenal dengan karya-karya yang beliau hasilkan.

Matlamat Blog Komsas SPM

Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) merupakan satu elemen penting yang perlu dikuasai oleh calon-calon SPM 2009. Antara genre yang dinukilkan dalam Komsas ialah genre novel, puisi tradisional, sajak, cerpen, drama mahupun prosa tradisional. Setiap genre ini memerlukan penghayatan pelajar yang sangat mendalam, bukan semata-mata untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan malah lebih daripada itu memberikan 'nilai tambah' dan pendedahan kepada semua pelajar supaya mendapat pengajaran yang berguna dan seterusnya mengaplikasikan nilai dan pengajaran tersebut dalam kehidupan seharian. Menyedari hal tersebut, maka blog ini saya usahakan denga harapan dapat berkomunikasi dengan semua calon SPM yang menghadapi masalah mengenai komponen Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Mudah-mudahan dengan blog ini calon-calon SPM akan mendapat keyakinan dan seterusnya membantu mereka semasa menjawab soalan dalam peperiksaan SPM pada tahun ini.