Friday, September 4, 2009

Perginya Seorang Ikon Sastera Sabah

Pagi Khamis ketika sibuk mengajar di kelas, tiba-tiba saya mendapat SMS dari seorang sahabat -Amil Jaya sudah pergi, cikgu!- Rasa tidak percaya apa dilihat pada skrin telefon bimbit, lantas Sdra Jasni Matlani (Pengerusi BAHASA Sabah) dihubungi- dan ternyata SMS itu benar. Perasaan sebak dan kehilangan yang amat sangat menggunung dalam dada..rasa mahu menangis namun terpaksa di tahan juga (malu di depan pelajar sendiri). Secara peribadi saya cukup akrab dengan Pak Amil Jaya (Datuk Ismail Abas). Rumah arwah di Putatan kerap dikunjungi sama ada melawat atau mencari bahan kajian terhadap karya-karyanya. Dalam kelas, saya kata kepada pelajar: betapa Sabah kehilangan seorang ikon sastera" yang telah banyak menyemai karya besar seperti Bagaton, Ngayau sehingga mendapat anugerah S.E.A AWARD daripada kerajaan Thailand. Karya-karya Amil Jaya tetap hidup dalam setiap sanubari insan. Bahkan kepada pelajar yang telah menghayati cerpen Tragedi dalam Antologi Kerusi, sudah pasti merasa kehilangan penulis ini, walaupun tidak pernah bersua muka dengan arwah secara peribadi. Apapun kata orang, "berat mata memandang, berat lagi bahu memikul" saya berdoa supaya semua ahli keluarga arwah, Datin dan anak-anak dapat mengharungi cabaran ini. Hidup ini memang sifat cukup cemburu kepada kita semua. Persidangan Pemikiran Amil Jaya dan Bicara Karya Cerpen ADAM yang saya tukangi semacam suatu isyarat kepada penulis sastera bahawa kehilangan ikon sastera sama ada di Sabah mahupun di Semenanjung tetap berbekas dalam hati.

Penyair terkenal Indonesia dalam bait puisinya "Aku mahu hidup seribu tahun lagi" hanyalah mimpi seorang insan seperti kita..Hidup kita di tangan Tuhan..