Friday, February 19, 2010

Seminar Penulisan & Kerjaya Bahasa Sempena Bulan Bahasa SMK.Sungai Damit, Tamparuli

Sahabat baik saya, Cikgu Maikol Yapat menghubungi saya lewat sms dan telefon menyatakan undangan kepada saya untuk berkongsi sedikit ilmu dalam bidang penulisan. Saya menerima undangan dengan hati terbuka dengan dua perasaan, pertama-memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan teknik penulisan kepada peserta secara berkesan di samping memberikan pendedahan kepada semua peserta supaya menjadi pelajar yang bukan sahaja lulus cemerlang dalam peperiksaan khususnya mata pelajaran bahasa Melayu, malah lebih daripada itu nescaya menjadi penulis Sabah yang terkenal seperti Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Amil Jaya. Perasaan kedua - inilah peluang kepada saya untuk memberikan gambaran yang jelas kepada semua peserta bahawa bidang penulisan dapat memberi nilai tambah atau boleh menjanjikan peluang kerjaya yang cukup lumayan. Saya selalu berfikiran positif bahawa bidang bahasa seperti juga bidang yang lain (perubatan, kejuruteraan, kewangan) menawarkan kerjaya masa depan yang cemerlang kepada pelajar. Sebagai bukti, lihat sahaja Dr.Jeniri Amir, penulis prolifik Malaysia yang sudah membuktikan kepada masyarakat umum bahawa menulis boleh mendatangkan duit. Mudah-mudahan ceramah yang sudah disampaikan dapat dimanfaatkan oleh semua peserta. Saya mahu melihat karya pelajar dari SMK.Sungai Damit mendapat tempat di surat khabar di Sabah.

Terus Menulis.

No comments:

Post a Comment