Tuesday, November 15, 2011

Antologi Taman Kasihku


Antologi Taman Kasihku mengungkapkan pelbagai persoalan pendidikan yang digarap oleh Guru Cemerlang di seluruh negara. Dapatkan antologi terbaharu ini, dan saya pasti anda akan mendapat katarsis pembacaan yang berbaloi...

Friday, November 11, 2011

Pecutan Akhir BM SPM

Selamat bertemu anak-anak didiku yang dikashi,
Tinggal sehari lagi, anak-anak akan menduduki SPM yang sebenar-benarnya. Sama ada anda sudah bersedia ataupun tidak SPM tetap muncul hari Isnin. Oleh hal yang demikian, cikgu berharap semua anak-anak didik telah berusaha dengan gigih sejak awal lagi dan tidak sabar-sabar menanti skrip soalan diedarkan.

Tip Terakhir.

Bahasa Melayu Kertas 1.
Isu:
a. Cara memulihara bangunan bersejarah
b. Kebaikan mengunjungi perpustakaan -mewjudkan budaya membaca/meminda generasi berilmu pengetahuan/ mempunyai minda kelas pertama/ menggalakkan budaya berfikir tinggi/ berkarisma/ jana idea kritis dan kreatif/ imej negara maju - simpulan bahasa yang perlu disisipkan- otak cair, langkah kanan, kempen: Membaca 1Malaysia, membaca  satu jam seluruh negara anjuran KPM, budaya membaca elak pelajar malas - menjauhi sikap seperti pahat dengan penukul
c. Orang Kelainan Upaya - langkah membantu
d. Peranan ibu bapa membentuk sahsiah anak-anak.
e. Kerjasa serantau dalam memacu sukan di peringkat global.
f. Peranan kesusasteraan dalam membentuk nilai murni dalam kalangan pelajar

Bahasa Melayu Kertas 2.
Komsas:
a. Ibu dan ceper
b. Israk
c. Cempaka berdarah
d.Hikayat Dua Geliga Hikmat
e. Merah Silu
f. Langlang Buana
 Novel:
a. Tema, persoalan, pengajaran, perwatakan watak utama
b. peristiwa yang memaparkan nilai kegigihan/tanggungjawab/kasih sayang


Tatabahasa:
a. cakap ajuk kepada cakap pindah
b. Gabung ayat
c. ayat biasa kepada ayat songsang



Selamat membuat ulang kaji. Teruskan perjuangan anda...





















Wednesday, November 9, 2011

Budaya Membaca Menjelang SPM

Seperkara yang mesti ditekankan dalam kalangan pelajar ialah wujudkan budaya membaca menjelang peperiksaan. Ada segelintir pelajar yang tidak mahu membaca dengan alasan, SPM semakin dekat. Itu pandangan yang keliru sebenarnya. Oleh itu, diminta semua calon SPM supaya dapat meluangkan masa untuk mengunjungi pusat sumber sekolah untuk membuat ulang kaji, berbincang dengan rakan walaupun peperiksaan semakin hampir. Selagi ada waktu dan peluang..sila gunakan dengan sebaiknya.

Tuesday, September 20, 2011

Peritiwa yang memberikan pengajaran kepada pembaca dalam novel yang dikaji

Soalan 1: Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan peristiwa-peristwa yang memberikan pengajaran kepada anda.

Tip: Untuk menjawab soalan ini, calon hendaklah membaca novel Melunas Rindu atau Kabus di Perbukitan dengan menyeluruh dan memahami setiap peristiwa yang diungkahkan oleh penulis.

Panduan calon:
Terdapat beberapa peristiwa yang memberikan pengajaran kepada pembaca.

Novel Kabus Di Perbukitan
a. Peristiwa Faridah terlibat dalam kemalangan apabila van yang dipandunya hilang kawalan akibat Faridah terkejut mendapati Iqbal ada di dalam van yang dipandunya. Pengajaran: Kita hendaklah berhati ketika memandu supaya keselamatan kita terjamin. - 2 markah

b. Peristiwa Faridah kembali ke kampung halamannya di Sungai Besar, Selangor setelah 25 tahun meninggalkan tanah air. Dia bersama-sama suaminya, Soleh Johnson menetap di Cameron Highlands. Pengajran daripada peristiwa tersebut ialah kita hendaklah mempunyai perasaan cita akan tanah air walaupun kita berada di negara/ rantau orang untuk membuktikan bahawa kita mempunyai jati diri yang kuat. 2 markah

Selamat Belajar...

Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Faya & Hari Merdeka 2011

Kesempatan ini saya dan keluarga mengucapkan selamat Hari Raya kepada semua rakan-rakan guru Bahasa Melayu yang beragama Islam dan juga selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 kepada semua rakyat Malaysia. Kita sebenarnya sangat bertuah dan beruntung kerana pada tahun ini kita menyambut dua perayaan serentak. Inilah uniknya negara kita Malaysia yang kita cintai.

Selamat Hari Raya dan teruskan perjuangan

Thursday, June 30, 2011

Klinik Bahasa, DBP Cawangan Sabah Kali Ke-55

Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah mengadakan Klinik Bahasa pada 28 Jun 2011 yang lalu. Klinik Bahasa yang julung kalinya diadakan dihadiri oleh 67 pelajar tingkatan 4 dan 5 di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud. Klinik Bahasa dikendalikan oleh Encik Juilis Mokujal, Guru Cemerlang Bahasa Melayu dari SMK Narinang, memperkatakan 'Permasalahan Tatabahasa Lazim dalam Bahasa Melayu" pada masa ini.

Saturday, June 11, 2011

Menabur Benih Kejayaan

Tinggal sehari lagi, pelajar-pelajar akan kembali semula ke sekolah setelah dua minggu menikmati cuti penggal pertama. Cikgu harap semua tugasan yang diberikan telah disiapkan dan seterusnya dihantar kepada cikgu pada hari Isnin jam 7.00 pagi. Sila bersedia untuk sesi pengajaran dan pemelajaran penggal kedua ini kerana kita perlu bekerja keras untuk memastikan KPI Bahasa Melayu sekolah kita menjadi kenyataan. Kalau pelajar di sekolah lain boleh mencapai keputusan yang cemerlang, kenapa kita tidak? Tepuk dada sendiri di situ pasti ada jawapannya. Ayuh pelajar-pelajar SMK Narinang- kita teruskan perjuangan.. Kita menabur ketekunan,kesabaran...pasti kita akan menuai kejayaan dan kecemerlangan.


Ni kali lah bah.....

Progam Motivasi SK Tuguson 2011














Syabas dan tahniah kepada Guru Besar SK Tuguson, Kota Belud, Encik Salgaring Wahit dan AJK Program Motivasi SK Tuguson kerana telah berjaya mengadakan program motivasi. Tahniah diucapkan kepada semua ibu bapa pelajar yang telah datang dan memberikan sokongan kepada anak-anak mereka. Terima kasih kerana menjemput saya sebagai penceramah motivasi semasa program tersebut. Ingatlah apa yang kita tabur itulah yang kita tuai.

Friday, June 10, 2011

Modul Sinergi Komsas 2011

Modul Sinergi Komsas yang dihasilkan oleh panel penulis yang terdiri daripada Guru Cemerlang Bahasa Melayu dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (Sektor Pengurusan Akademik, JPN Sabah) bakal diterima oleh semua guru Bahasa Melayu di Sabah dalam Semester Kedua nanti. Diharap semua guru BM khususnya yang mengajar Tingkatan 4 dan 5 supaya bersabar. Pastinya modul tersebut akan membantu guru mengajar komsas dengan lebih berfokus.

Cikgu Juilis Mokujal
Guru Cemerlang Bahasa Melayu/
Penulis/Panel Pemurnian Modul Sinergi Komsas

Tuesday, May 31, 2011

Panduan Bina Item Bahasa Melayu SPM

Salam 1Malaysia,

  1. Pembinaan item/ soalan Bahasa Melayu merupakan aspek penting yang seharusnya dijadikan keutamaan oleh setiap guru Bahasa Melayu di sekolah. Malangnya, sehingga ini masih kedengaran desas-desus soalan atau item yang dibina tidak menepati piawaian atau kriteria yang sewajarnya.Ada yang mengadu, soalan yang diberikan kepada pelajar adalah 'copy n paste' daripada mana-mana buku rujukan yang ada di pasaran. Ada pula yang mengatakan, soalan yang digubal tidak menepati atau memenuhi standard soalan aras SPM yang sebenar. Akibatnya, kredibiliti dan kewibawaan guru dipersoalkan oleh pelajar dan juga ibu bapa pelajar. Jika hal yang seumpama ini berterusan, kita bimbang, pelajar dan pihak ibu bapa tidak akan menghormati dan mempercayai wibawa guru yang mengajar anak-anak mereka.
  2. Bagaimanakah membina item Bahasa Melayu dengan baik?
  • Apakah kandungan kertas soslan Bahasa Melayu kertas 2? Kertas BM Kertas 2 dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Soalan 1 (Rumusan -30markah), Soalan 2 (Pemahaman-35 markah), Saoaln 3 (Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa -30 markah) dan Soalan 4 (Novel-15 markah).
  • Soalan 1: Rumusan (30 markah) : Kriteria pembinaan soalan Rumusan:
  • 1. Bahan petikan - berupa bahan ilmiah yang diambil daripada majalah ilmiah seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Pendidik.
  • 2. Jumlah perkataan antara 330 -380 patah perkataan
  • 3. Petikan menyentuh pelbagai isu semasa yang positif
  • 4. Petikan tidak menyentuh peribadi/negara/politik/agama/bangsa atau isu-isu sensitif
  • 5. petikan tidak memberikan nilai komersil kepada syarikat/individu
  • 6. Kandungan petikan memberikan keadikan kepada semua calon (bandar/luar bandar)
  • 7. Proses ubah suai berlaku ( tiada had/batasan)
  • 8. Perenggan antara 3 - 5 perenggan
  • 9. Petikan mengandungi antara 7 - 10 isi tersurat
  • 10.Taburan isi tersurat berselerakan
  • 11. Kata penerang kepada isi tersurat/penanda wacana/arahan soalan perlu dielakkan
  • 12. Petikan tidak mengandungi isi-isi yang dikemukakan sebagai soalan isi tersirat.
  • 13. Nama penulis, tajuk rencana dan sumber mesti dinyatakan.

Mudah-mudahan dengan perkongsian membina item/soalan rumusan ini dapat membantu rakan-rakan guru BM. Panduan membina soalan item yang lain akan dibincang pada sesi yang lain...selamat membina item.


Tuesday, May 24, 2011

Motivasi Pelajar UPSR , SK Tuguson 2011

Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada Guru Besar SK Tuguson, Encik Salgaring kerana menjemput saya sebagai penceramah motivasi pelajar kepada calon-calon UPSR SK Tuguson pagi ini. Saya melihat jauh dalam lubuk hati ibu bapa yang hadir akan harapan tinggi menggunung terhadap anak-anak mereka. Semoga dengan sesi musabah diri yang terjadi pada sesi motivasi tadi menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada calon-calon UPSR 2011.

Tahniah Cikgu Salgaring dan semua guru SK Tuguson. Lakukan yang terbaik.


Cikgu Juilils Mokujal
Penceramah Motivasi UPSR 2011

Thursday, April 21, 2011

Teknik Menjawab BM SPM dan Apresiasi Kesusasteraan Melayu SPM SMK Tamparuli 2011

Pertamanya, saya merakamkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Nurul, Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Cikgu Pius, Ketua Panitia Kesusasteraan Melayu, SMK Tamparuli yang sudi menjemput saya menyampaikan ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 11 dan Kesusasteraan Melayu SPM pada 21 April 2011. Program seumpama ini merupakan satu usaha yang sangat murni dan berguna kepada semua calon yang akan menghadapi SPM 2011. Kesungguhan dan minat semua pelajar yang berjumlah 278 orang (setakat ini paling ramai di SMK Tamparuli berbanding tahun sebelumnya) menunjukkan komitmen berterusan Panitia Bahasa Melayu dan Panitia Kesusasteraan Melayu SMK Tamparuli. Oleh itu, saya mengharapkan semua calon telah mendapat manfaat yang tidak terhingga melalui program tersebut. Sasaran 100% bukanlah sesukar mana andainya semua calon berusaha bersungguh-sungguh mencapai target yang dihasratkan itu. Kepada semua guru yang hadir, terima kasih atas komiten cikgu dan marilah kita terus berjuang mendidik anak-anak bangsa kita. Kalau bukan kita siapa lagi?

Friday, March 4, 2011

Bengkel Pemarkahan BM2 SPM


Bengkel Pemarkahan Bahasa Melayu Kertas 2 di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu.

Masa : 8.30 pagi
Penceramah : Cikgu Juilis Mokujal (Guru Cemerlang Bahasa Melayu)

Objektif Bengkel:
a. Memberikan pendedahan kepada guru Bahasa Melayu
b. Menyeragamkan penandaan skrip jawapan calon mengikut standard SPM sebenar
c. Memberikan keyakinan guru bahasa Melayu

Saturday, February 5, 2011

Teknik Memahami Sajak

Salam 1Malaysia kepada semua pelajar khususnya pelajar-pelajar SMK Narinang yang sangat dikasihi.

Salah satu genre yang perlu dikuasai dan dipelajari oleh calon SPM ialah genre sajak. Sebut sahaja 'sajak' banyak calon SPM yang cepat mengeluh dan bersunggut-sunggut sajak sangat susah difahami apatah lagi ditafsirkan. Hal ini berlaku semasa P&P dijalankan, pelajar-pelajar tidak dapat memberikan pandangan yang jitu dan tepat apabila memperkatakan sesebuah sajak. Natijahnya, pelajar tidak dapat menjawab dengan cemerlang dalam peperiksaan kelak. Oleh itu, saya akan memperkatakan teknik mudah yang harus diamalkan oleh pelajar supaya masalah ketidakfahaman tentang sajak dapat diatasi.

SAJAK.

Antara elemen penting sajak yang harus difahami oleh semua calon:

1. Sajak atau puisi moden ialah suatu bentuk pengucapan yang lazimnya digubah dengan pemilihan bahasa yang indah, berirama, dan mempunyai bentuk yang tersendiri.
2. Unsur-unsur yang membina sajak terdiri daripada tema, bentuk, gaya bahasa, bunyi, nada dan sebagainya.
3. Sajak terdiri daripada kesatuan unsur-unsur di atas yang tidak dapat dipisahkan sesuai dengan hakikat puisi sebagai 'suatu makna keseluruhan'.
4. Tema sajak pada umumnya adalah sebahagian daripada pengalaman hidup penyajak/penyair yang dirasai,dilalui dan dilihat dalam kehidupan, serta benar-benar menyentuh perasaan.
5. Bentuk sajak lebih luas makna dan hubungannya daripada sifat-sifat yang dapat dilihat saja.
6. Corak penyusunan atau pembentukan baris-baris membawa kesan pernyataan perasaan dan pemikiran tertentu.
7. Gaya bahasa dalam sajak digunakan untuk memindahkan pengalaman jiwa (perasaan dan pemikiran penyair)
8. Unsur bunyi dalam sajak pula dapat menimbulkan keindahan apabila dideklamasikan.
9. Aspek nada dalam sajak berhubung erat dengan perasaan, pemikiran dan sikap penyair.

Untuk makluman semua pelajar, sajak yang termuat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku mengetengahkan enam buah sajak karya penulis mapan Malaysia. Sebagai panduan kepada pelajar, sebaiknya pelajar perlu memahami intipati tema dan persoalan yang dinukilkan oleh penyair.

Dalam sajak Dirgahayu Bahasaku karya Ahmad Sarju yang dijadikan judul antologi, membicarakan isu bahasa Melayu. Ahmad Sarju mengajak semua khalayak supaya menghayati dan mencintai bahasa kebangsaan dan seterusnya berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152. Karya ini termuat dalam Antologi Manuskrip Luka Bangsa yang diterbitkan oleh PENA. Dalam antologi tersebut, sajak saya yang bertajuk 'Bahasa Perkasa" turut dimuatkan. Sayangnya, sajak saya tidak terpilih sebagai teks KOMSAS.

Sajak Bangkitlah karya Rejab F.I seorang penyair mapan Malaysia memaparkan tema semangat patriotisme. Penyair tegas menyeru kepada semua anak-anak muda supaya berusaha mendapatkan kehidupan yang lebih sempura dengan cara mengusahakan tanah masing-masing daripada terus terbiar.

Sajak Kecek - (v) karya Awang Abdullah memaparkan sikap sesetengah orang/golongan berada yang tidak jujur dan amanah dalam mengumpul kekayaan diri dan keluarga. Penyair melukiskan rentak kehidupan masyarakat miskin yang tabah menghadapi cabaran dan tidak menyusahkan orang lain kerana apa sahaja yang kita lakukan diperhati oleh Tuhan yang maha kuasa.

Sajak Pasar Perasaan karya penyair T.Alias Taib bijak memanipulasi diksi yang menyindir golongan tertentu yang lantang bersuara di warung-warung tanpa berfikir terlebih dahulu.

Sajak Di Bawah Langit yang Sama karya Prof Dr.Lim Swee Tin pula masih memperkata tema kemanusiaan sejagat dengan mengatakan bahawa manusia tetap sama di mana-mana sahaja.

Sajak terakhir dalam antologi ini ialah sajak 'Arketik Kota' karya Sasterawan Negara, Prof Dr.Muhammad Haji Salleh yang begitu jelas menekakan pentingnya melaksanakan pembangunan bandar tanpa merosakan alam sekitar.

Secara konkulsinya, enam buah sajak yang dimuat dalam antologi ini mampu dihayati dan difahami oleh pelajar. Kesukaran memahami sesebuah sajak bertitik tolak daripada kelemahan pelajar memahami makna/maksud yang disampaikan oleh penyair. Justeru itu, pelajar perlulah bertanya kepada guru Bahasa Melayu masing-masing.

Mudah-mudahan tips sederhana yang dipaparkan dapat membantu setiap calon.



Wednesday, January 19, 2011

Teknik SATU dalam pemelajaran Komsas

Slogan janaan Perdana Menteri , 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjadi pemacu kecemerlangan negara dalam semua aspek sama ada ekonomi, sosial, apatah lagi soal politik. Senario pendidikan, slogan murni ini seharusnya dijadikan asas pentadbiran berkesan lebih-lebih lagi, dalam upaya mencemerlangkan pendidikan negara, pengurusan sumber manusia harus dijadikan keutamaan terlebih dahulu.
Dalam bidang pengajaran dan pemelajaran Komsas khususnya, peranan guru sebagai pembentuk akaliah dan pelentur peribadi mulia, pendekatan dalam pengajaran Komsas juga harus diutamakan. Dalam pengamatan secara rambang di sekolah, didapati ramai pelajar yang tidak memahami komsas, tidak minat membaca teks komsas. Apabila ditanya, genre yang paling tidak disukai, lantas mereka menjawab prosa tradisional dan sajak. Oleh itu, guru Bahasa Melayu perlu melakukan sesuatu untuk menarik minat pelajar supaya meminati teks komsas. Salah satu teknik yang boleh digunakan ialah Teknik SATU.
Teknik SATU adalah teknik akronim yang boleh memandu dan membantu pelajar mempelajari teks Komsas dan juga tajuk-tajuk lain dalam mata pelajaran yang diajar. Apakah Teknik SATU?

S ialah Sedia
A ialah Awal
T ialah Tumpuan
U ialah Ulang kaji.

Aplikasi Teknik SATU dalam pengajaran dan pemelajaran perlu melibatkan murid secara aktif. Misalnya , ketika mengajar cerpen..murid harus terlebih dahulu membaca cerpen tersebut lebih awal.....(lagi baik jika guru mengajar cara membaca cerpen dengan berkesan)




Tuesday, January 11, 2011

SMK NARINANG NO. 1

Slogan lama Saya Cemerlang SMKN Gemilang bertukar versi SMK Narinang No. 1 memberi nafas baru dan menjenamakan semula SMK Narinang. Saya yakin dan penuh percaya SMK Narinang pada tahun ini akan lebih cemerlang terutamanya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Namun persoalannya, mampukah warga pendidik dan pelajar menyahut cabaran ini lantas menjadikan slogan baharu ini menjadi realiti. Alangkah malangnya jika semuanya hanya otupia semata-mata. Justeru itu, kita harus optimis bahawa kejayaan mampu kita raihkan bersama..Kecemerlangan dalam SPM 2011 mesti digapai bersama.

PASTI...SMK NARINANG NO. 1......Bertindak sekarang......yezahhhhhhhhhhhhhhh

Sunday, January 9, 2011

Teknik Memahami Puisi Tradisional

Puisi tradisional yang terdapat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku terdiri daripada pantun enam kerat, pantun lapan kerat, syair, gurindam dan seloka. Puisi tradisional ini akan disoal dalam Kertas Bahasa Melayu kertas 2 iaitu soalan 2d yang memperuntuk 9 markah. Oleh itu, pelajar wajib memahami setiap puisi tradisional yang dipaparkan dalam teks ini. Mengikut penelitian dan data yang dibuat melalui analisis item dan headcout, saya dapati pelajar seringkali culas dan kehilangan markah ketika menjawab soalan tersebut. Sebagai panduan kepada calon SPM, ada baiknya, calon membaca terlebih dahulu bahagian pengenalan teks dalam muka surat 3 supaya memudahkan calon mendapat gambaran awal sebelum mempelajari setiap tajuk dengan lebih mendalam.

Dalam bahagian pengenalan teks, dipaparkan bahawa:
a. Pantun Enam Kerat membawa nilai-nilai kekuatan, ketahanan, dan ketabahan hati ketika berdepan dengan kekecewaan dalam percintaan.
b. Pantun Lapan Kerat menekankan sifat kesabaran dalam usaha/upaya untuk berjaya dalam kehidupan dan berusaha menyeru pembaca/khalayak memartabatkan bahasa, warisan dan budaya ketimuran supaya tidak dicemari oleh pengaruh barat.
c. Syair Makna Riak menggariskan sikap negatif yang harus dijauhi oleh setiap orang, iaitu perasaan riak(sombong/merag diri).
d. Syair Pemberontakan Patani pula membawa tema semangat patriotik seorang tokoh sejarah, iaitu Laksamana yang tetap mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.
e. Gurindam Tonggak Dua Belas mengajak khalayak untuk membina jati diri sebagai orang yang baik dan berguna untuk bangsa dan negara. Nilai-nilai seperti menghargai masa, tekun, berusaha, bijak bertindak, dan bersifat sederhana merupakan nilai yang harus dibentuk dalam diri pelajar.
f. Dalam seloka si Luncai pula, kita dikehendaki supaya menggunakan akal yang waras dalam mengambil apa-apa jua tindakan. Sekiranya kita tidak menggunakan akal dalam membuat keputusan, akhirnya akan menjadi seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tindakan seperti ini tidak bermakna dan hanya merugikan diri sendiri dan juga negara.


Mendapat gambaran awal bagi setiap tajuk yang dipelajari dalam antologi Dirgahayu Bahasaku akan memberikan kelebihan dan manfaat yang amat besar kepada pelajar. Selamat belajar.

Kepada murid-murid cikgu kelas 5A,5B dan 5H..teruskan perjuangan ..cikgu akan bersama-sama kamu menempuh dan menongah arus SPM 2011..Percayalah kekuatan kita sebenarnya ialah keyakinan diri