Saturday, February 5, 2011

Teknik Memahami Sajak

Salam 1Malaysia kepada semua pelajar khususnya pelajar-pelajar SMK Narinang yang sangat dikasihi.

Salah satu genre yang perlu dikuasai dan dipelajari oleh calon SPM ialah genre sajak. Sebut sahaja 'sajak' banyak calon SPM yang cepat mengeluh dan bersunggut-sunggut sajak sangat susah difahami apatah lagi ditafsirkan. Hal ini berlaku semasa P&P dijalankan, pelajar-pelajar tidak dapat memberikan pandangan yang jitu dan tepat apabila memperkatakan sesebuah sajak. Natijahnya, pelajar tidak dapat menjawab dengan cemerlang dalam peperiksaan kelak. Oleh itu, saya akan memperkatakan teknik mudah yang harus diamalkan oleh pelajar supaya masalah ketidakfahaman tentang sajak dapat diatasi.

SAJAK.

Antara elemen penting sajak yang harus difahami oleh semua calon:

1. Sajak atau puisi moden ialah suatu bentuk pengucapan yang lazimnya digubah dengan pemilihan bahasa yang indah, berirama, dan mempunyai bentuk yang tersendiri.
2. Unsur-unsur yang membina sajak terdiri daripada tema, bentuk, gaya bahasa, bunyi, nada dan sebagainya.
3. Sajak terdiri daripada kesatuan unsur-unsur di atas yang tidak dapat dipisahkan sesuai dengan hakikat puisi sebagai 'suatu makna keseluruhan'.
4. Tema sajak pada umumnya adalah sebahagian daripada pengalaman hidup penyajak/penyair yang dirasai,dilalui dan dilihat dalam kehidupan, serta benar-benar menyentuh perasaan.
5. Bentuk sajak lebih luas makna dan hubungannya daripada sifat-sifat yang dapat dilihat saja.
6. Corak penyusunan atau pembentukan baris-baris membawa kesan pernyataan perasaan dan pemikiran tertentu.
7. Gaya bahasa dalam sajak digunakan untuk memindahkan pengalaman jiwa (perasaan dan pemikiran penyair)
8. Unsur bunyi dalam sajak pula dapat menimbulkan keindahan apabila dideklamasikan.
9. Aspek nada dalam sajak berhubung erat dengan perasaan, pemikiran dan sikap penyair.

Untuk makluman semua pelajar, sajak yang termuat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku mengetengahkan enam buah sajak karya penulis mapan Malaysia. Sebagai panduan kepada pelajar, sebaiknya pelajar perlu memahami intipati tema dan persoalan yang dinukilkan oleh penyair.

Dalam sajak Dirgahayu Bahasaku karya Ahmad Sarju yang dijadikan judul antologi, membicarakan isu bahasa Melayu. Ahmad Sarju mengajak semua khalayak supaya menghayati dan mencintai bahasa kebangsaan dan seterusnya berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152. Karya ini termuat dalam Antologi Manuskrip Luka Bangsa yang diterbitkan oleh PENA. Dalam antologi tersebut, sajak saya yang bertajuk 'Bahasa Perkasa" turut dimuatkan. Sayangnya, sajak saya tidak terpilih sebagai teks KOMSAS.

Sajak Bangkitlah karya Rejab F.I seorang penyair mapan Malaysia memaparkan tema semangat patriotisme. Penyair tegas menyeru kepada semua anak-anak muda supaya berusaha mendapatkan kehidupan yang lebih sempura dengan cara mengusahakan tanah masing-masing daripada terus terbiar.

Sajak Kecek - (v) karya Awang Abdullah memaparkan sikap sesetengah orang/golongan berada yang tidak jujur dan amanah dalam mengumpul kekayaan diri dan keluarga. Penyair melukiskan rentak kehidupan masyarakat miskin yang tabah menghadapi cabaran dan tidak menyusahkan orang lain kerana apa sahaja yang kita lakukan diperhati oleh Tuhan yang maha kuasa.

Sajak Pasar Perasaan karya penyair T.Alias Taib bijak memanipulasi diksi yang menyindir golongan tertentu yang lantang bersuara di warung-warung tanpa berfikir terlebih dahulu.

Sajak Di Bawah Langit yang Sama karya Prof Dr.Lim Swee Tin pula masih memperkata tema kemanusiaan sejagat dengan mengatakan bahawa manusia tetap sama di mana-mana sahaja.

Sajak terakhir dalam antologi ini ialah sajak 'Arketik Kota' karya Sasterawan Negara, Prof Dr.Muhammad Haji Salleh yang begitu jelas menekakan pentingnya melaksanakan pembangunan bandar tanpa merosakan alam sekitar.

Secara konkulsinya, enam buah sajak yang dimuat dalam antologi ini mampu dihayati dan difahami oleh pelajar. Kesukaran memahami sesebuah sajak bertitik tolak daripada kelemahan pelajar memahami makna/maksud yang disampaikan oleh penyair. Justeru itu, pelajar perlulah bertanya kepada guru Bahasa Melayu masing-masing.

Mudah-mudahan tips sederhana yang dipaparkan dapat membantu setiap calon.



No comments:

Post a Comment

Post a Comment